GEODESI UNTUK JURUTERA GEOMATIK

Geodesi merupakan satu kursus teras dan wajib diambil bagi pelajar bidang ukur tanah atau kejuruteraan geomatik. Geodesi salah satu perkara paling asas untuk mengurus kepelbagaian data geospatial, navigasi dan bidang ukur dan pemetaan secara khusus. Geodesi ialah ilmu Geosains berkaitan pengukuran dan pemetaan permukaan bumi. Walaupun geodesi antara cabang geosains tertua didunia, bermula sejak  zaman Sumeria 5000 tahun lalu, namun bidang ini masih kurang dikenali umum. Sekiranya tiada bidang geodesi secara tidak langsung,kita pastinya tidak akan melihat pada masa kini penerokaan angkasa lepas seperti satelit diangkasa, pelancaran roket ke angkasa dan juga pelbagai aplikasi angkasa untuk PNT seperti GNSS dan GPS (Sistem Penentududukan Sejagat).



“Geodesi ialah ilmu sains yang mengkaji bentuk dan saiz bentuk muka bumi, medan graviti dan putaran bumi serta pemantauan secara temporal”

 

Menurut definisi klasik oleh Friedrich Robert Helmert1 (1880), “Geodesi, satu perkataan Greek, (γη = earth, δαιω = I divide ~ Geo= ’Bumi’, Dasie= ‘Saya Bahagi’) ialah sains pengukuran dan pemetaan permukaan bumi. Definisi oleh Helmert ini merupakan asas kepada geodesi sehingga hari ini. Permukaan bumi ini jika direntangkan lebih luas, adalah dibentuk oleh graviti bumi dan sebahagian besar cerapan-cerapan geodetik dirujukkan kepada medan graviti bumi. Oleh hal demikian, takrifan geodesi di atas juga termasuklah penentuan medan graviti luaran bumi. Sejak zaman kuno, sistem rujukan untuk ukur dibumi telah diberikan oleh sumber luaran bumi (bintang). Ini mengkehendaki orientasi bumi dalam angkasa dilibatkan dalam fokus geodesi. Pada masa kini, objektif geodesi telah dikembangkan melibatkan aplikasi dalam kajian lautan dan angkasa. Fokus asal geodesi telah dikembangkan untuk aplikasi-aplikasi dalam penerokaan lautan dan udara. Sebagai contoh, geodesi dengan koloborasi bidang sains yang lain, kini juga termasuklah penentuan lantaian lautan (seafloor) serta permukaanya dan medan graviti jasad-jasad samawi seperti bulan (Geodesi Lunar) dan Planet-Planet (Geodesi Planet). Akhirnya, Takrif klasik telah dikembangkan dengan memasukkan perubahan masa (temporal variation) bentuk bumi, orientasi dan medan gravitinya.


Dengan pengembangan takrifan ini, geodesi ialah sebahagian daripada geosains dan sains kejuruteraan, termasuklah panduarah dan geomatik (cth, Nat. Acad. Sciences,1979; Herring, 2009; Plag and Pearlman, 2009). Geodesi mungkin boleh dibahagikan kepada beberapa bidang iaitu geodesi sejagat, ukur geodetik (nasional/wilayah), dan ukur satah. Geodesi sejagat termasuk penentuan bentuk dan saiz bumi, orientasi dalam angkasa, dan medan graviti luaran. Ukur geodetik adalah untuk penentuan permukaan bumi dan medan graviti sesuatu wilayah kebiasaannya merangkumi sesebuah negara ataupun sekelompok negara-negara. Kelengkungan bumi dan medan graviti mestilah dipertimbangkan dalam ukur geodetik. Dalam ukur satah (ukur topografi, ukur kadaster, ukur kejuruteraan), butiran-butiran permukaan bumi ditentukan pada peringkat tempatan, oleh yang demikian kesan kelengkungan dan graviti secara umumnya diabaikan. 


1Robert Friederich Helmert dikenali sebagai Pengasas Geodesi Moden . lihat dalam J.Ihde dan A. Reinhold (2017) Friedrich Robert Helmert, Founder of Modern Geodesy, On the occasion of the centernary of his death , History of Geo and Spaces Sciences.


Sr Amir Hamzah 

UTMKL 

3.1.2025 

Disclaimer : Sumber rujukan hasil terjemahan dari buku Geodesy Torge & Muller disesuaikan dengan bahasa Melayu. Foto-foto sepenuhnya bukan hakmilik penulis. Credit kepada pemilik sebenar foto.Terima Kasih

Comments

Popular posts from this blog

ASTRONOMI LAPANGAN UNTUK JURUUKUR TANAH