Ukur Kejuruteraan untuk Jurutera Geomatik

       
Pendahuluan

        Geomatik merupakan disiplin berkenaan dengan pengumpulan, penyebaran, penyimpanan, analisa, pemprosesan, persembahan data dan maklumat geografi (ISO/TC 211). Disiplin ini secara khusus merangkumi kesemua teknik dan kaedah pengutipan data fizikal bumi dan persekitarannya (Geospatial), pemprosesan data tersebut, dan penyebaran data dalam pelbagai bentuk format kepada klien. Geomatik atau Kejuruteraan Geomatik ini merupakan satu istilah moden yang juga disebut dengan istilah lama iaitu ukur tanah atau ilmu ukur.

 

“Geomatics is the science and study of spatially related information and is particularly concerned with the collection, manipulation and presentation of the natural, social and economic geography of the natural and built environments.”- (RICS Definition of Geomatics)

                  

Seorang Jurutera Geomatik atau Juruukur Kejuruteraan (Geomatics Engineers or Geomatics Surveyors) ialah seorang yang professional yang mempunyai kelayakan akademik serta berkemahiran teknikal untuk mempraktis serta melaksanakan aktiviti-aktiviti dalam bidang geomatik dengan menggunakan pelbagai jenis penderia seperti Total Station, Pengimbas Laser, Dron, Alat Penerima GNSS/GPS, Teodolit, Alat Ground Penetrating Radar (GPR), LiDAR, pita pengukur dan sebagainya di atas tanah, dibawah tanah, di udara, di air dan juga di angkasa contohnya pengunaan satelit. Seorang jurutera geomatik akan berusaha menggunakan kemahiran dan pengetahuan teknikal dari segi peralatan, perisian dan teknik serta pengurusan untuk menghasilkan maklumat kedudukan bumi (Geospatial) yang tepat bergantung kepada pelbagai situasi dan spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Lembaga Juruukur Tanah atau klien.

 

“A surveyor is a professional person with the academic qualifications and technical expertise to conduct one, or more, of the following activities; To determine, measure and represent land, three-dimensional objects, point-fields and trajectories; To assemble and interpret land and geographically related information, To use that information for the planning and efficient administration of the land, the sea and any structures thereon; and, To conduct research into the above practices and to develop them.”-(FIG Definition of Land Surveyors)


Kategori Ukur Geomatik dan Cabangnya 

Kerja pengukuran dan pemetaan dalam bidang geomatik secara umumnya terbahagi kepada dua kategori besar iaitu ukur satah dan ukur geodetik. Ukur geodetik merangkumi kerja dikawasan yang luas dan besar, mengambilkira kelengkungan bumi, medan graviti bumi serta melibatkan hitungan yang rumit dalam penghasilan sesuatu produk akhir seperti penghasilan peta. Manakala ukur satah pula merangkumi kawasan kerja yang terhad dan kecil, menganggap bumi ini satah, medan graviti bumi diabaikan serta melibatkan hitungan koordinat yang mudah dan tidak kompleks. Contoh produk akhir ukur satah ialah pelan kadaster (pelan akui) rujuk Gambar rajah 1, pelan ukur kejuruteraan dan lain-lain lagi. Antara cabang ukur yang berada di bawah kategori Ukur Satah adalah Ukur Kadaster, Ukur Kejuruteraan, Ukur Topografi dan Ukur Hidrografi yang pengukuranya serta pemetaan berfokus pada tempat yang kecil dan tidak memerlukan kelengkung bumi dan medan graviti bumi diambilkira dalam penghasilan pelan.  



Rajah 1 : Pelan Akui yang merupakan produk dalam ukur kadaster  

Terdapat pelbagai cabang ukur dalam bidang geomatik antaranya:

·        1. Ukur Kadaster

·        2. Ukur Kejuruteraan

·        3. Ukur Topografi

·        4. Ukur Geodetik

·        5. Ukur fotogrametri

·         6. Ukur Hidrografi

·         7. Sistem Maklumat Geografi dan Sistem Maklumat Tanah

·         8. Penderiaan Jauh

·         9. Penentududukan Satelit

·         10. Astronomi Lapangan

·         11. Ukur Utiliti Bawahtanah

 

      Definisi dan Tujuan Ukur Kejuruteraan 

 Ukur Kejuruteraan ialah cabang geomatik yang merangkumi pengukuran dan pemetaan bagi tujuan kerja-kerja kejuruteraan awam dan pembinaan seperti. Tujuan utama Ukur Kejuruteraan adalah menyediakan pelan terkini bagi sesebuah kawasan yang terlibat dengan projek pembangunan. Skala pelan biasanya besar 1:500 atau 1:100. Pelan ini merupakan asas kepada rekabentuk pembinaan. Ketepatan pelan yang dilukis secara langsung mempengaruhi kepada kejituan reka bentuk yang dibuat. Disamping itu tujuan kedua ukur kejuruteraan dilaksanakan adalah untuk kerja pemancangan (setting out) dan kawalan sesuatu struktur kejuruteraan diatas muka bumi berdasarkan pelan rekabentuk kejuruteraan.

 


   Berdasarkan tujuan ukur kejuruteraan tersebut, dapatlah diringkaskan beberapa objektif khusus dalam ukur kejuruteraan iaitu pertamanya menentukan keluasan dan isipadu tanah yang terlibat dalam kerja-kerja gunatanah (earthwork), memastikan binaan dibuat adalah pada keadaan yang betul sebagaimana yang ditunjukkan di atas pelan reka bentuk, merekodkan kedudukan akhir binaan termasuk semua pindaan-pindaan yang dilakukan (Selepas siap pembinaan) dan terakhirnya menyediakan titik-titik kawalan ukur berkejituan tinggi untuk tujuan pengawasan binaan-binaan tertentu  contohnya tujuan pemantauan deformasi dan mendapan tanah.


      


Cadangan Buku Rujukan Untuk Bidang Ukur Kejuruteraan

 



Sr Amir Hamzah 

UTMKL 

8.1.2025 

Disclaimer : Foto-foto sepenuhnya bukan hakmilik penulis. Credit kepada pemilik sebenar foto. Terima Kasih





Comments

Popular posts from this blog

ASTRONOMI LAPANGAN UNTUK JURUUKUR TANAH